Followers

Wednesday, 2 May 2012

Situasi 38: Janjang, Jenjang dan Jenjam...

Perkataan Janjang tergolong dalam jenis kata nama bahasa Melayu. Janjang ialah tangga. Perkataan lain sebagai pilihan untuk kata janjang ialah jenjang. Dalam teromba adat perpatih terdapat ungkapan yang berbunyi “Berjanjang naik, bertangga turun”. Maksud tersirat ungkapan ini ialah sesuatu kejadian yang menurut kedudukan atau menurut peraturan masing-masing. Peribahasa “tiada kayu janjang dikepil” pula mengandungi erti sesuatu hal yang tidak dapat ditangguhkan, jika tidak, akan mendatangkan malu. 

Kata lain yang seakan-akan sama bunyinya dengan jajang ialah jajan. Kata jajan bermaksud kuih atau penganan. Kata terbitan berjajan mendukung maksud beberapa makna, iaitu mengudap, yakni makan kuih di luar waktu makan. Makna berjajan yang kedua, membeli makanan (nasi, kuih-muih), manakala dalam konteks kiasan pula berjajan membawa maksud pergi ke tempat perempuan lacur; atau dengan kata lain bermain perempuan. 

Perkataan jenjang juga terdiri daripada kata nama. Kita sering menemukan ungkapan menaiki jenjang pelamin, maksud ungkapan ini ialah menaiki tangga pelamin atau dalam pengertian biasa adalah melangsungkan perkahwinan. Selain itu, jenjang juga mendukung maksud tahap atau tingkat-tingkat dari bawah ke atas. Contohnya:
  • Padi huma berjenjang-jenjang : menggambarkan petak tanaman padi (di bukit) yang kelihatan bertingkat-tingkat.
Makna lain kata jenjang berkaitan pula dengan leher. Leher yang jenjang menggambarkan leher seseorang itu panjang atau langsing. Satu lagi perkataan yang hamper bunyinya dengan jenjang ialah jenjam. Perkataan jenjam beerti tenang. Makna tenang yang tersirat dalam perkataan ini berkaitan dengan rasa hati. Jika dikatakan hatinya jenjam itu bermakna hatinya tenang. Jenjam juga bermaksud aman dan tenteram, tidak gelisah atau tidak rusuh. 

Ulasan: Demikian maksud perkataan yang hampir sama bunyinya, iaitu janjang, jenjang dan jenjam. Semoga kita dapat memahami setiap maksud perkataan yang dihuraikan ini dan dapat menggunakan perkataan tersebut dengan betul.

No comments:

Post a Comment