Peranan pantun sangat besar dalam masyarakat Melayu. Semua lapisan masyarakat terlibat dalam berpantun dan peranannya amat besar dan bermakna dalam berkomunikasi. Sesuai dengan peranan masyarakat Malaysia kini, pantun dicipta bersesuaian dengan tema sesuatu majlis dan khalayak, termasuk pengacaraan majlis. Dewasa ini, kebanyakan pengacara majlis menggunakan pantun untuk menyerikan suasana. Peranan pengacara majlis sangat besar, terutama pada peringkat permulaan. Menarik tumpuan khalayak kepada acara yang sedang dan akan berlangsung terletak di bahunya. Umpamanya, pantun yang berikut menggambarkan peranan itu:
Tidur sebantal lena berulit
dibuai mimpi bersama puteri
Sekali sekala pantun diselit,
Majlis tampak lebih berseri.
Ketika memulakan majlis, pantun digunakan sebagai penyeri kata pengacara. Pantun yang digunakan mesti sesuai dengan khalayak, disertai kesantunan dan kesopanan dalam berbahasa, dan berkait rapat dengan majlis yang dijalankan.
Indah mentari terbit di kuala,
Tampak cahaya cerah berserakkan,
Sebelum majlis kita bermula,
Bacaan doa kita mulakan.
Pengerusi majlis yang mengakhiri majlis dapat menggunakan pantun atau bahasa berirama sebagai penutup bicara dan untuk mengucapkan terima kasih kepada hadirin dan tetamu kehormat, serta memohon maaf seandainya terdapat sebarang kesilapan semasa pengendalian majlis.
Menitis embun mawar titipan,
Terbang hinggap si anak kumbang,
Rasmilah sudah majlis penutupan,
Segala ilmu agar dikembang,
Majlis kita berakhir di sini,
Sebarang kesilapan harap dimaafi,
Segala kerjasama disanjung tinggi,
Terima kasih sekalung budi,
Kenangan nan indah simpanlah di hati,
Semoga kita bertemu lagi.
Dalam majlis yang mempunyai dua taraf khalayak atau tetamu kehormat, misalnya tetamu Diraja, bahasa berirama dan pantun yang digunakan mestilah sesuai. Sebagai contoh:
Menjunjung kasih putera mahkota,
Mencemar duli bersama jelata.,
Sembah patik jari bersusun,
Jari bersusun kasih berkuntum,
Kasih bersemi sesuci embun.
Nobat nafiri paluan irama,
Mengiringi paduka turun berangkat,
Dirgahayu paduka selama-lamanya,
Raja berdaulat rakyat muafakat.
Ulasan: Demikianlah peranan pantun yang cukup besar peranannya dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, kebanyakan masyarakat pada hari ini kurang mengamalkan budaya berpantun dalam kehidupan seharian mereka walaupun pantun ini merupakan tinggalan nenek moyang kita dahulu kala. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa, bahasa yang digunakan dalam sesebuah pantun begitu indah dan halus sekali, tetapi maksud yang disampaikan masih mampu difahami oleh semua peringkat golongan, tidak kira tua mahupun muda.
boleh x sis masukkan penggunaan puisi tradisional dalam mejlis diraja pulak..???
ReplyDeletesy nk thu sngt2 pasal ni...