Followers

Wednesday, 25 April 2012

Situasi 34: Belia dan Bahasa Kebangsaan


Belia merupakan aset terpenting dalam sesebuah negara, Jatuh bangunya sesebuah negara pada masa hadapan sebenarnya amat bergantung pada peranan yang dimainkan oleh belia. Golongab belia sebenarnya mempunyai banyak potensi yang dapat dipupuk untuk membantu mereka menjadi dewasa dengan nilai dan tingkah laku yang positif. Potensi positif yang ada pada golongan belia, jika dipupuk dengan baiknya akan dapat berkembang secara sihat dan dengan sendirinya menjadi benteng penghalang pengaruh negatif.

Kerajaan amat memandang serius terhadap usaha pembinaan dan pengembangan bahasakebangsaan dalam kalangan generasi muda bagi memupuk jati diir mereka dan mengingatkan mereka bahawa masa hadapan bahasa dan bangsa terletak di tangan mereka. Pada tangan merekalah terletaknya kelangsungan hidup atau matinya bahasa kita yang menjadi khazanah bangsa dan negara. Antara salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memartabatkan bhasa kebangsaan dalam kalangan remaja ialah menganjurkan Seminar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam Kalangan Belia Pelbagai Kaum yang diselia oleh DBP. Setiap pimpinan belia perlu mengambil peluang untuk berwacana dan berdiskusi serta memberikan pandangan daripada kaca mata belia untuk menarik belia bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan

Tuesday, 24 April 2012

Situasi 33: Mengatur Bahasa

Assalamualaikum... Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi isu bahasa yang saya peroleh melalui perbualan dua orang rakan ketika membeli makanan di pasar malam KUO. Saya tertarik untuk menulis perbualan mereka kerana ayat yang digunakan oleh mereka itu seringkali menjadi sebutan masyarakat terutamanya golongan remaja pada masa ini. "Ada aku kisah?" itulah ayat yang saya maksudkan. Antara perbualan mereka yang sempat saya dengar berbunyi macam ni:

Si A : Nasi kerabu dah habis la.
Si B : Ada aku kisah?

******
Melalui situasi di atas memperlihatkan penggunaan ayat "Ada aku kisah" ini mungkin bertujuan untuk bergurau. Walau bagaimanapun, penggunaan ayat seumpama ini hanya memperlihatkan kurangnya unsur kesantunan dalam berbahasa dan sekaligus merosakkan keindahan bahasa Melayu. Penggunaan ayat "Ada aku kisah"  menunjukkan seseorang itu kelihatan biadap atau kurang ajar ketika berkomunikasi. Seandainya penggunaan bahasa tersebut terus menjadi amalan, sudah pasti generasi akan datang turut menggunakan bahasa seumpama itu dengan sewenang-wenangnya. Konklusinya, elakkan daripada menggunakan ayat "Ada aku kisah", untuk membina bangsa Malaysia yang tinggi nilai moralnya dan kaya dengan budi bahasa kerana "bahasa menunjukkan bangsa".


"Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa jiwa bangsa."

Monday, 23 April 2012

Situasi 32: Kesantunan Berbahasa...


Dalam usaha untuk berinteraksi, setiap masyarakat mempunyai beberapa norma atau peraturan sosial bagi memastikan aspek kesantunan dan kesusilaan terpelihara.Hal ini demikian kerana bahasa merupakan medium yang penting dalam perlakuan sosial untuk menyampaikan kehendak, meminta sesuatu, atau hanya sekadar bertegur sapa dalam kalangan anggota masyarakat. Penggunaan bahasa yang baik dan bersopan santun dalam berkomunikasi secara tidak langsung dapat mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik. Kerajaan Malaysia sendiri menunjukkan keperihatinan yang tinggi terhadap amalan ini dengan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan nilai-nilai Murni pada Januari 2005 dan pelbagai program disusun atur pada peringkat kebangsaan, negeri, mahupun pada peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) demi memartabatkan kesantunan dalam berbahasa. Walau bagaimanapun, dalam mengharungi era globalisasi ini nilai murni yang telah dipusakai sejak turun-temurun semakin luntur. Penggunaan kata yang dikaitkan dengan kesopanan berbahasa semakin tidak dititikberatkan. Penutur-penutur bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan remaja sudah mula menampakkan sikap tidak mengendahkan penggunaan kata-kata yang dapat menggambarkan kesopanan berbahasa.
Kata “bahasa” mempunyai banyak makna. Bahasa bukan sekadar membawa maksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia dan antara individu dengan individu yang lain. Kata “bahasa” juga merupakan simpulan  bahasa yang membawa maksud “sopan santun”.  Jadi, membicarakan bahasa tanpa menyentuh aspek kesantunan bahasa sewajarnya tidak harus berlaku, lebih-lebih lagi bahasa Melayu yang mempunyai falsafah kesopanan  yang tinggi yang didasarkan oleh falsafah budi dalam masyarakat Melayu dan akidah Islam yang dianutinya.
Definisi santun berbahasa, iaitu  kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.Di sini saya akan terangkan tentang rumus yang berkaitan dengan santun berbahasa, iaitu SIstem sapaan yang diperkenalkan oleh Ervin Tripp. Melalui sistem sapaan ini, Ervin Tripp telah mengemukakan 3 rumus penting, iaitu:
  • RUMUS ALTERNASI
    Rumus ini menjelaskan bagaimana kita memilih salah satu daripada pasangan seperti kanak-kanak atau orang dewasa sama ada diketahui namanya atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, sama ada berpangkata atau tidak berpangkat dan mempunyai status yang menonjolkan atau tidak.
  •  RUMUS KEJADIAN BERSAMA
    Merupakan rumus yang menerangkan tentang sesuatu rujukan kehormat yang disesuaikan dengan sesuatu kedudukan orang yang disapa. Menurut rumus ini, dalam bahasa Melayu, terdapat rujukan kehormat yang harus diguna pakai mengikut situasi mahupun tempat yang telah ditentukan atau dengan kata lain konvensional. Ia juga meliputi gelaran bagi pasangan rujukan kehormat tersebut
  • RUMUS PERURUTAN
    Dalam rumus ini, Evin Tripp menjelaskan bahawa terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan selepas itu nama perinadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki sekiranya lebih daripada satu perlu diatur dan disusun mengikut kaedah yamg lazim digunakan, misalnya seperti Yang BErbahagia Tan Sri Datuk Professor Dr. Ismail Faruqi.
Demikianlah sedikit sebanyak kaitan rumus yamg diperkenalkan oleh Ervin Trip yang bersangkut paut dengan kesantunan bahasa. Kesantunan bahasa seharusnya dimanfaat dan diamalkan oleh si penutur kerana ia membawa norma-norma yang positif serta menunjukkan bahawa bahasa itu mempunyai keindahan, turutan yang sempurna dan juga menunjukkan situasi yang sopan ketika berbicara.




Friday, 20 April 2012

Situasi 31: Filem Melayu, Judul Inggeris


Baru-baru ini aku ada membaca sebuah artikel berkaitan dengan penggunaan bahasa rojak yang kian menular dalam industri perfileman. Aku rasa isu ini wajar diberi perhatian supaya keadaan tidak menjadi semakin parah…
Seandainya kita menulis buku bahasa Melayu dan untuk dipasarkan di negara kita, bahasa yang akan dan sepatutnya digunakan ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari segi penggunaan judulnya. Hal yang sama juga sepatutnya dilakukan dalam pembikinan filem Melayu. Penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris perlulah dielakkan. Bentuk penggunaan bahasa rojak ini dilihat semakin menjadi-jadi, kononnya atas alasan ingin menggambarkan realiti masyarakat di luar filem. Lebih serius lagi, untuk melihat penggunaan bahasa rojak ini, kita tidak perlu bersusah payah menonton filem kerana boleh dilihat secara langsung dalam penggunaan judulnya. Terdapat sesetengah filem yang sememangnya menggunakan bahasa Melayu dalam pembikinan filemnya, tetapi judulnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak. Misalnya, Senario The Movie Episode 2 Beach Boys, Remp-it, Kami The Movie, Antoo Fighter, dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Brainscan, Evolusi KL Drift, Ratu The Movie, Papa I Love U dan sebagainya.
Untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam filem Melayu, pihak yang terlibat dalam industri perfileman perlu melihat kembali kepada nilai budaya tempatan dan kembali mengutamakan pengunaan bahasa Melayu yang berkualiti kerana “bahasa menunjukkan bangsa” dan filem pula merupakan “cerminan bangsa”. Sebagai salah satu wahana hiburan yang kuat pengaruhnya dan mampu menyampaikan sesuatu mesej secara berkesan, yang ditonjolkan melalui filem, biarlah sesuatu yang baik dan dapat diteladani, termasuklah dari segi penggunaan bahasanya.

Thursday, 19 April 2012

Situasi 30: Lagu Rojak

Kali ini aku akan mengetengahkan isu lagu-lagu Melayu yang banyak menggunakan bahasa rojak dalam lirik lagu yang dihasilkan. Ketika mendengar lagu ini, aku merasa terpanggil untuk mengulas tentang lirik atau bait-bait kata yang digunakan dalam lagu ini. Lagu Pulanglah nyanyian Awie Rafael ini sememangnya cukup jelas memperlihatkan pengguaan bahasa rojak dalam lirik lagu tersebut. Hal ini telah menunjukkan bahawa dunia seni suara tanah air telah merosot nilai jati diri Melayunya. Lirik lagu mula dirojakkan bahasanya atas alasan mahu memberi nilai komersial yang lebih ke atas lagu yang dihasilkan.Penulis lirik seharusnya lebih peka dalam kepentingan penggunaan bahasa yang betul .Kedaulatan bahasa kebangsaan haruslah dikekalkan,bukan dicemarkan dengan penggunaan bahasa rojak walaupun ada yang menganggap isu bahasa rojak dalam penghasilan lagu adalah sebuah isu picisan yang tidak perlu di ketengahkan.
Penggunaan bahasa rojak dalam penulisan lirik lagu sudah menjadi budaya dalam masyarakat di Malaysia. Sepatutnya perkara itu tidak patut atau tidak boleh sama sekali berlaku kerana bahasa adalah salah satu unsur pembentukan jati diri dalam diri setiap masyarakat di Malaysia. Jika masyarakat sendiri tidak memartabatkannya, maka tidak mustahillah masyarakat lain tidak akan menghormti bahasa kita.
Oleh itu, percampuran lirik lagu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam industri muzik kita merupakan satu masalah yang perlu ditangani segera. Hal ini kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah memartabatkan bahasa Melayu supaya tidak dicemari oleh bahasa asing. Lirik lagu juga merupakan salah satu langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana lagu-lagu Melayu boleh didengar oleh semua peringkat umur

Wednesday, 18 April 2012

Situasi 29: Mengapa kita meminjam kata asing?


Kita tentu pernah mendengar atau membaca pendapat tentang penggunaan kata-kata asing dalam bahasa Melayu. Umumnya, ada dua pendapat yang bertentangan. Pendapat pertama menolak penggunaan kata asing, sementara pendapat kedua menerimanya. Pendapat pertama mengaitkan penggunaan kata asing dengan pencemaran bahasa, manakala yang kedua mengaitkannya dengan penggayaan bahasa. 

Sebenarnya pengambilan dan penggunaan kata asing adalah perkara lumrah dalam hampir semua bahasa di dunia. Setiap bahasa yang maju tetap dipengaruhi kata-kata asing. Sebagai contoh, bahasa Inggeris yang dianggap  sebagai bahasa antarabangsa itu tidak sunyi daripada fenomena itu. 

Mengapakah terjadi peminjaman atau pengambilan kata asing dalam sesuatu bahasa? Untuk memahaminya anda perlu menyedari bahawa bahasa ialah pancaran kebudayaan. Bahasa adalah salah satu cabang penting yang berkembang seiring dengan kebudayaan. Dalam hal ini, sesuatu kata mewakili makna atau konsep tertentu. Oleh sebab itu, perkembangan kebudayaan dengan sendiri bererti perkembangan makna dan konsep dalam pemikiran bangsa yang mendukung kebudayaan itu. Perkembangan makna dan konsep ini tergambar pada pertambahan kata dan istilah.

Tuesday, 17 April 2012

Situasi 28: Jangan Inggeriskan Ayat Melayu



Dalam perkembangan bahasa Melayu dewasa ini, kebanyakan pengguna bahasa tidak dapat mengenal pengaruh bahasa Inggeris oleh sebab bentuk-bentuk asing itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan masing-masing. Malah tanpa disedari, banyak ayat yang ditulis atau diucapkan oleh pengguna bahasa yang sebenarnya keinggeris-inggerisan.
Berdasarkan hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan oleh para sarjana, terdapat kira-kira 15 bentuk susunan ayat Inggeris yang digunakan dangan kerapnya walaupun kata-kata yang digunakan tetap Melayu. Di tempat-tempat awam, seperti pada papan tanda arah dan perniagaan dan sebagainya terdapat juga bentuk-bentuk bahasa yang menggambarkan pengaruh bahasa Inggeris.
Mari kita lihat pengaruh bahasa Inggeris yang terdapat dalam susunan kata bahasa Melayu. Sekiranya kita berjalan-jalan di kota raya mahupun di bandar-bandar, kita pasti akan dapat melihat kata-kata yang disusun mengikut binaan bahasa Inggeris, misalnya:
1.      Mubarak Restoran
2.      Ah Hee Kedai Kopi
3.      Salim Kedai Motor
4.      Ramli Klinik
5.      Sri Gading Kenderaan
6.      Emas Ekspres
7.      Selamat Stor
Bentuk- bentuk tersebut sudah terlalu lumrah sehingga sukar orang hendak mempercayai bahawa susunannya salah. Sebenarnya, semua bentuk itu menurut susunan bahasa Inggeris. Hal ini tidak menghairankan, kerana kebanyakannya diterjemahkan daripada bahasa Inggeris. Jadi, susunan yang sepatutnya ditulis mengikut aturan bahasa Melayu standard ialah:
1.      Restoran Mubarak
2.      Kedai Kopi Ah Hee
3.      Kedai Motor Salim
4.      Klinik Ramli
5.      Kenderaan Sri Gading
6.      Ekspres Emas
7.      Stor Selamat