Baru-baru
ini aku ada membaca sebuah artikel berkaitan dengan penggunaan bahasa
rojak yang kian menular dalam industri perfileman. Aku rasa isu ini
wajar diberi perhatian supaya keadaan tidak menjadi semakin parah…
Seandainya
kita menulis buku bahasa Melayu dan untuk dipasarkan di negara kita,
bahasa yang akan dan sepatutnya digunakan ialah bahasa Melayu. Begitu
juga dari segi penggunaan judulnya. Hal yang sama juga sepatutnya
dilakukan dalam pembikinan filem Melayu. Penggunaan bahasa yang
bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutamanya
bahasa Inggeris perlulah dielakkan. Bentuk penggunaan bahasa rojak ini
dilihat semakin menjadi-jadi, kononnya atas alasan ingin menggambarkan
realiti masyarakat di luar filem. Lebih serius lagi, untuk melihat
penggunaan bahasa rojak ini, kita tidak perlu bersusah payah menonton
filem kerana boleh dilihat secara langsung dalam penggunaan judulnya.
Terdapat sesetengah filem yang sememangnya menggunakan bahasa Melayu
dalam pembikinan filemnya, tetapi judulnya dalam bahasa Inggeris atau
bahasa rojak. Misalnya, Senario
The Movie Episode 2 Beach Boys, Remp-it, Kami The Movie, Antoo Fighter,
dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Brainscan, Evolusi KL Drift, Ratu The
Movie, Papa I Love U dan sebagainya.
Untuk
mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam filem Melayu, pihak yang
terlibat dalam industri perfileman perlu melihat kembali kepada nilai
budaya tempatan dan kembali mengutamakan pengunaan bahasa Melayu yang
berkualiti kerana “bahasa menunjukkan bangsa” dan filem pula merupakan
“cerminan bangsa”. Sebagai salah satu wahana hiburan yang kuat
pengaruhnya dan mampu menyampaikan sesuatu mesej secara berkesan, yang
ditonjolkan melalui filem, biarlah sesuatu yang baik dan dapat
diteladani, termasuklah dari segi penggunaan bahasanya.
No comments:
Post a Comment