Followers

Thursday, 26 April 2012

Situasi 35: Bahasa Ibarat Sungai dengan Airnya


Hubungan bahasa dan nilai budaya adalah simbiotik dan tidak dapat dipisahkan ibarat sungai dengan airnya. Bahasa Melayu menerapkan nilai yang sesuai dengan alam dan persekitaran Melayu, manakala bahasa asing pula menerapkan nilai asingnya. Bahasa adalah tonggak kebudayaan. Bahasa tumbuh dan berkembang dalam sesuatu persekitaran sekaligus memancarkan segala macam budaya, pemikiran dan pandangan dunia masyarakat jati yang menuturkannya. Bahasa diwarisi dari generasi kepada generasi dari zaman ke zaman. Oleh sebab bahasa memainkan peranan untuk mengungkapkan budaya dan tamadun sesuatu bangsa, sesuatu bahasa itu tentunya dibina berlandaskan pemikiran bangsa tersebut. 

Bahasa Melayu tidak dibina sekelip mata, Bahasa itu berkembang secara evolusi dari segi kosa kata, istilah, ungkapan, laras dan sintaksisnya. Lenggok dan gaya bahasa itu telah berubah dan semakin mantap sesuai dengan peredaran dan keperluan zaman. Bahasa Melayu perlu terus digunakan dalam pelbagai ranah kehidupan masyarakat Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Apa yang lebih penting ialah bahasa itu mendukung nilai, budaya dan nuansa yang serasi dengan sebahagian besar rakyat negara ini. Oleh itu, bangsa Malaysia perlu dibina dengan menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa tersebut merupakan tonggak budaya, pemikiran dan kemajuan bangsa.

No comments:

Post a Comment