Perancangan bahasa bermaksud usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah mencapai taraf yang lebih maju. Kemajuan bahasa perlu dirancang. Di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merancang kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Proses perancangan bahasa terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang, pelaksanaan rancangan yang telah disusun dan seterusnya ialah penilaian. Antara aktiviti perancangan bahasa yang dilakukan ialah:
Pengekodan BM
Istilah yang lebih biasa digunakan bagi makud pengekodan ialah penyeragaman, iaitu proses bagi menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari aspek tatabahasa, ejaan, makna dan sebutan.
Ejaan
Mengadakan satu sistem ejaan baharu untuk mengatasi kelemahan sistem ejaan lama.
Perkamusan
Bahasa yang sedang berkembang sudah tentu akan bertambah jumlah perbendaharaan katanya. Perkembangan bidang perkamusan bahasa Melayu dijalankan oleh DBP dengan menerbitkan kamus, misalnya penerbitan Kamus Dewan pada tahun 1970, kamus ekabahasa dan dwibahasa.
Pemupukan BM
Pemupukan BM bermaksud menumpukan perhatian terhadap usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling terjemah dengan beberapa bahasa moden yang lain. Perkara itu dilaksanakan dengan pemupukan istilah baharu, khususnya istilah dalam bidang teknikal, iaitu meliputi pelbagai bidang ilmu dan disiplin seperti kejuruteraan, kedoktoran, sains angkasa, sains rumah tangga, kehakiman dan seni halus.
No comments:
Post a Comment