Followers

Friday, 23 March 2012

Situasi 16: Gangguan Bahasa Ibunda...

Entri pada kali ini akan membincangkan mengenai pelajar yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua biasanya mengalami gangguan bahasa, terutamanya daripada bahasa ibundanya sendiri. Gangguan ini jika tidak diatasi akan menghalang pelajar untuk terus menguasai bahasa kedua.

Umum mengetahui bahasa berperanan penting dalam kehidupan manusia. Manusia menggunakan bahasa untuk pelbagai tujuan, misalnya untuk perhubungan, berkomunikasi, menyatakan pendapat, mendapatkan maklumat, meluahkan perasaan dan berhibur.

Kanak-kanak yang normal akan memperoleh bahasa pertamanya dalam lingkungan umur antara dua hingga enam tahun. Pemerolehan bahasa tetap berlaku walaupun bahasa yang didengar oleh kanak-kanak tidak gramatis atau mengandungi kesalahan struktur dan kosa kata. 

Terdapat beberapa faktor yang dianggap gangguan yang menghalang kanak-kanak daripada mempelajari dan menguasai bahasa kedua. Persekitaran bahasa memainkan peranan yang penting dalam pemerolehan bahasa kedua dalam kalangan kanak-kanak. Misalnya, pelajar Cina yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua akan dibayangi bahasa ibunda mereka kerana bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa harian, terutamanya semasa berkomunikasi dengan individu atau kelompok  daripada suku yang sama. Oleh itu, pelajar sepatutnya didedahkan kepada persekitaran bahasa Melayu yang semula jadi. Jika pendedahan sedemikian sukar dilakukan, maka guru boleh model. 

Bagi pelajar yang kurang terdedah kepada kosa kata bahasa Melayu, strategi pembelajaran mencari makna dengan konteks klu dianggap sesuai. Strategi ini sesuai memantapkan kosa kata bahasa Melayu pelajar yang mempelajari bahasa kedua kerana penegasannya adalah terhadap struktur ayat yang menerbitkan makna, iaitu dengan melihat makna kata dalam konteks ayat. Guru harus juga membimbing pelajar untuk memahami makna kata dalam pelbagai konteks situasi dan budaya. Oleh itu, pelajar dapat mengaitkan makna sesuatu kata yang bersinonim dengan konteks situasi dan budaya yang berlainan.

No comments:

Post a Comment